Majlis Istiadat Penerima Sijil & Penghargaan Silat Bunga Cawangan Tg Karang


Persatuan Seni Silat Bunga Cawangan Tanjong Karang, Selangor
Pada 30 Januari 2026  yang lalu, telah berlangsung dengan penuh adat dan penuh bermakna Majlis Istiadat Penerima Sijil dan Penghargaan Persatuan Seni Silat Bunga Cawangan Tanjong Karang, Selangor bertempat di Pukal Padi Parit 2, Sungai Burong, Tanjong Karang.

Majlis yang bermula sekitar 8.30 malam ini menghimpunkan ahli-ahli Silat Bunga dari seluruh Malaysia, barisan kepimpinan persatuan serta tetamu kehormat dalam suasana yang penuh tradisi dan semangat persaudaraan.
Majlis telah diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Panglima Tertinggi Helang Samarini, Tuan Haji Ahmad Lothfi bin Haji Omar, yang turut menyampaikan ucapan serta menyempurnakan beberapa istiadat penting sepanjang program berlangsung.

Atur Cara Majlis
Antara pengisian utama majlis termasuklah:
-Ketibaan ahli-ahli Silat Bunga dan dif kehormat
-Majlis bacaan doa selamat
-Ucapan Pengerusi Gelanggang Tanjong Karang
-Ucapan oleh Yang Dipertua Panglima Tertinggi Helang Samarini
-Istiadat Penyampaian Sijil Keahlian Intek Pertama Tahun 2024/2025
-Istiadat Pemakaian Selempang Khas
Penyampaian Cenderahati “Tanda Kasih Sepanjang Zaman”
-Penyampaian Sijil Penghargaan
-Istiadat Penyampaian Penghormatan dan Tanda Kasih Gelanggang
Istiadat Perasmian Gelanggang Silat Bunga Cawangan Tanjong Karang. 

Majlis ini bukan sahaja menjadi simbol pengiktirafan kepada para penerima sijil dan penghargaan, malah turut memperkukuhkan lagi semangat perjuangan, disiplin serta jati diri dalam kalangan ahli persatuan..

Pemakaian busana Melayu dan pakaian tradisional oleh para hadirin turut menyerlahkan lagi nilai adat dan warisan seni silat yang terus dipelihara dari generasi ke generasi. 
Majlis turut menyaksikan satu detik istimewa apabila Presiden MAYDA telah dilantik sebagai salah seorang Penaung Persatuan Seni Silat Bunga Cawangan Tanjong Karang.

Sebagai simbol penghormatan dan pengiktirafan, Penyampaian selempang tersebut melambangkan kepercayaan, sokongan serta komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan antara organisasi dan memperkasa warisan seni silat tanah air.

Pelantikan ini diharapkan dapat mengeratkan lagi kerjasama strategik serta membuka lebih banyak ruang sinergi dalam pembangunan komuniti, kepimpinan dan jati diri generasi akan datang.

Semoga majlis yang penuh bersejarah ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan Persatuan Seni Silat Bunga Cawangan Tanjong Karang dalam melahirkan lebih ramai pesilat berwibawa serta memperkukuh peranan persatuan dalam masyarakat.

“Berjuang Untuk Negara, Gagalkan Angkara.”

Comments